Tag

perkataan yang baik

Browsing

Antara hadiah yang terindah dan berharga adalah sebuah senyuman yang ikhlas yang terukir di wajah seseorang. Apabila senyuman tersebut di rencahkan pula dengan perkataan-perkataan yang baik dan santun. Maka ia menjadi sesuatu yang hebat.

Rasulullah ﷺ mengajar kepada kita semua untuk saling memberikan hadiah sebagai penghapus sengketa atau sebagai pemadam api amarah sesama kita, melahirkan kecintaan dan menjalinkan persahabatan.

Siapa yang tidak suka apabila dipuji. Dalam diri sesiapa pun inilah tabiatnya, kita akan merasa bahagia apabila mendapat pujian, sanjungan dan penghormatan. Inilah harga diri kita, dan dengannya bertambahlah rasa kasih kita pada mereka.

Jadi, hadiah adalah satu simbol. Simbol kepada sanjungan, pujian dan penghormatan dari seseorang kepada seseorang yang lain. Apabila kita menghulurkan hadiah dengan senyuman dan ucapan yang baik dan mesra, maka akan tercapailah maksud yang hendak ditujukan, dan sekiranya perbuatan tersebut mendapat balasan maka disinilah akan bermulanya jalinan hubungan sesama manusia, berkembangnya kasih sayang dan perasaan saling hormat menghormati.

Minda dan jiwa manusia sentiasa memerlukan belaian untuk mengubati kegersangan. Hadiah menjadi implementasi penghargaan, penghormatan dan kekaguman yang berteraskan kepada keinginan untuk menyalurkan kebahagiaan kepada orang lain.

Hadiah apabila diterima daripada orang yang berhubungan rapat dengan kita seperti isteri, anak-anak, saudara mara, sahabat yang rapat. Ia menjadi tidak ternilai harganya pada mereka yang menerimanya.

Nilai sesuatu hadiah bukan terletak kepada harga meterialnya. Tetapi nilainya terletak pada perasaan penerimanya. Kerana jiwa manusia itu perlu dibelai, maka hadiah adalah ubat yang terbaik untuk jiwa. Hulurlah sesuatu ketika menziarahi orang yang sakit, atau sekurang-kurangnya senyuman dan kata semangat, itu juga hadiah yang sangat bermakna. Mengutus surat, panggilan telefon kepada ibu dan ayah yang berjauhan walaupun seketika juga hadiah menjadi pengubat rindu buat mereka, dan bermacam-macam bentuk perbuatan itu boleh menjadi hadiah bagi mereka yang memerlukannya.

Dan pastinya hadiah yang terbaik adalah sesuatu yang mampu mengeratkan perhubungan. Ia menjadi sebuah solusi kepada semua masalah dalam perhubungan, samaada yagn mampu untuk dilihat atau tidak. Inilah penyambung keakraban bagi yang memberi dan menerimanya.

Jadi, biasakanlah diri kita dengan memberikan hadiah dengan melakukan kebaikan kepada sesiapa sahaja dan jangan lupa senyuman yang ikhlas dan perkataan yang santun kerana kedua-dua ini tidak tidak ternilai harganya dan tidak boleh dijual beli.

Hanif Majid