Tag

mendidik anak

Browsing

Biasanya apabila tidak dibelenggu dengan kesibukan urusan kerja atau kuliah, saya akan cuba untuk mengadakan masa solat berjemaah dengan keluarga. Sekurang-kurangnya dapat juga perhatikan bagaimana mereka solat, betulkah solat mereka? Jika ada yang terkurang inilah masanya untuk memberikan teguran dan nasihat.

Biasanya selepas solat kami akan berzikir dan berdoa bersama-sama. Saya akan berzikir dan berdoa dengan suara yang kuat agar didengari oleh isteri dan anak-anak. Namun amalan ini tidak dpersetujui oleh kebanyakan rakan-rakan saya kerana mereka berpendapat bahawa doa tidak dijaharkan, tiada doa beramai-ramai selepas solat dan amalan tersebut tidak pernah dicontohkan dari Nabi ﷺ.

Saya hanya berkata benar, dan saya bersetuju dengan pendapat mereka. Namun di sana perlu kita fahami bahawa terdapat zikir-zikir selepas solat yang tsabit dengan hadits-hadits Nabi ﷺ, maka dianjurkan kita untuk membacanya seusai solat. Bacaan-bacaan tersebut juga bukanlah sesuatu yang direka-reka dan mengapa saya menjaharkan suara? Kerana inilah masanya untuk mengajarkan anak-anak zikir dan doa-doa yang baik untuk diamalkan selepas solat.

Jangan kita lupa, apabila mereka solat bersendirian, siapa nanti rujukan mereka? maka telah menjadi kewajipan ibu dan ayah untuk mengajar kepada mereka perkara tersebut.

Rasulullah ﷺ pernah berkata kepada Muaz, sabdanya:

يَا مُعَاذُ إِنِّي اُحِبُّكَ لا تَدَعْ دُبُرَ كُلِّ صَلاَةٍ، اَللَّهُمَّ أعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

“Wahai Muaz, aku menyayangimu. Oleh itu janganlah kamu tinggalkan untuk berdoa setiap kali selepas solat dengan membaca doa ini: ‘Ya Allah, tolonglah aku untuk mengingatimu, bersyukur kepadamu dan membaikkan dalam beribadat kepadamu’.” (Hadith riwayat Ahmad: 22119, Abu Daud: 1524, dan al-Nasaie dalam Sunan al-Kubra: 9937. Dinilai sahih oleh Ibn Hibban dalam Sahihnya: 2020, dan Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya: 751.)

Wallahu’alam

Hanif Majid