Category

Manhaj

Category

Antara perkara yang selalu saya buat adalah menulis. Kadang-kadang bukan untuk dibukukan atau untuk tatapan orang lain, hanya sekadar gemar dan suka menyalin semula apa yang dibaca atau didengar. Inilah tabiat yang sukar sekali dibuang.

Pernah pada suatu hari, sahabat saya bertanya, “Engkau menulis untuk apa? Kalau letak di blog atau facebook pun belum tentu ada orang baca. Buat penat saja kalau tak ada orang baca”.

Sebenarnya ada orang membacanya atau tidak bukanlah persoalan. Setiap orang menulis atas banyak sebab yang berbeza-beza. Ada orang yang menulis kerana mereka mencari pendapatan dengannya. Sebahagian yang lain menulis kerana minat, dikalangan mereka ada yang menerbitkan tulisan-tulisan tersebut walaupun yang membeli dan membacanya hanya seorang dua.

Sebahagian yang lain menulis semata-mata kerana itulah minat dan kecenderungan mereka, dan saya buat masa sekarang berada di kategori ini. Setiap tulisan itu akan menjadi simpanan dan tatapan diri sendiri atau mungkin bakal menjadi khazanah untuk anak cucu dikemudian hari. Itupun jika mereka mahu menilainya sebagai bahan ilmiah yang perlu diperhatikan.

Saya mula menulis sejak dari bangku sekolah, waktu itu ayah ada ruang bacaan di rumah. Sebenarnya rumah ayah dahulu rumah kayu dua tingkat. bahagian bawahnya adalah rumah tempat kami sekeluarga dan bahagian atasnya dijadikan surau tempat beliau mengajar Al-Quran. Jadi di bahagian surau tersebut terletaknya ‘gerobok’ lama tempat menyimpan kitab-kitab agama, majalan dan buku-buku ilmiah yang pelbagai.

Jadi sejak dari sekolah rendah saya telah didedahkan dengan buku-buku dan kitab agama walaupun sebahagiannya pada waktu itu tidak mampu untuk memahami perbahasan-perbahasan ilmiahnya. Tetapi kerana minat membaca tersebut telah tertanam dalam jiwa, maka saya banyak menghabiskan masa di sudut bacaan yang ada. dari situ saya mula menyalin apa yang saya rasa menarik.

Mengapa tabiat ini masih melekat?

Kerana sebaris ayat yang pernah saya baca tidak lama dahulu. ayat inilah yang memberikan semangat supaya saya tidak mengalah untuk terus membuat catatan demi catatan.

قَيِّدُوا الْعِلْمَ بِالْكِتَابِ
“Ikatlah ilmu dengan dengan menulisnya” (Silsilah Ash-Sahihah no. 2026)

Sebab itu tak perlulah mengalah untuk menulis dan mencatat walaupun tidak ada sesiapa yang membacanya. Kerana yang lebih bernilai untuk diri kita adalah ilmu bukannya berapa ramai manusia yang membacanya.

Papan Batu, Alat Mengaktifkan Minda.

Menulis dan membuat catatan ini sebenarnya bagus, terutama bagi mereka yang menghafal, kerana otak akan lebih aktif dan mudah untuk ingat apabila kita menulis kembali sesuatu tulisan, Pernah dengar papan batu? Zaman ayah saya dahulu sukar untuk mendapatkan buku tulis (harga yang mahal), jadi apa yang cikgu ajar dihadapan akan disalin di papan batu kemudian dibaca dan dihafal. Maka secara tak langsung murid-murid akan belajar untuk menulis dengan baik dan menghafal pada masa yang sama.

Tak percaya? Nanti boleh cuba sendiri menulis.

Kata Syeikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin rahimahullah:


قلنا: نعم له دواء ـ بفضل الله ـ وهي الكتابة،
Kita katakan, Ya. Lupa ada ubatnya –dengan kurniaan dari Allah- iaitu menulisnya.

ولهذا امتن الله عز وجل على عباده بها فقال: (اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِى خَلَقَ * خَلَقَ الإِنسَـنَ مِنْ عَلَقٍ * اقْرَأْ وَرَبُّكَ الاَْكْرَمُ * الَّذِى عَلَّمَ لْقَلَمِ). العق: 1 ـ 4
Kerananya Allah memberikan kepada hamba-Nya dengan surat Al-Alaq (ayat 1-4)

فقال (اقرأ) ثم قال: {الَّذِى عَلَّمَ بِالْقَلَمِ } 
Iaitu“iqra’” kemudian “mengajarkan dengan pengantara pena”. 

يعني اقرأ من حفظك، فإن لم يكن فمن قلمك
Maksudnya, bacalah dengan menghafalnya, jika tidak hafal maka dengan tulisanmu.

فالله تبارك وتعالى بين لنا كيف نداوي هذه العلة، وهي علة النسيان وذلك بأن نداويها بالكتابة
Allah Tabaraka Ta’ala menjelaskan kepada kita bagaimana mengubati penyakit ini, penyakit lupa dan kita mengubatinya dengan menulis.

والان أصبحت الكتابة أدقُّ من الأول، لأنه وجد ـ بحمد الله ـ الان المسجِّل
Dan sekarang menulis lebih mudah berbanding dahulu sebab mudah dilakukan dan segala puji bagi Allah, sekarang boleh dirakam.

disalinan – Mutshalah Hadits syaikh Al-Utsaimin