Category

Usul Ad-Deen

Category

Antara perkara yang selalu saya buat adalah menulis. Kadang-kadang bukan untuk dibukukan atau untuk tatapan orang lain, hanya sekadar gemar dan suka menyalin semula apa yang dibaca atau didengar. Inilah tabiat yang sukar sekali dibuang.

Pernah pada suatu hari, sahabat saya bertanya, “Engkau menulis untuk apa? Kalau letak di blog atau facebook pun belum tentu ada orang baca. Buat penat saja kalau tak ada orang baca”.

Sebenarnya ada orang membacanya atau tidak bukanlah persoalan. Setiap orang menulis atas banyak sebab yang berbeza-beza. Ada orang yang menulis kerana mereka mencari pendapatan dengannya. Sebahagian yang lain menulis kerana minat, dikalangan mereka ada yang menerbitkan tulisan-tulisan tersebut walaupun yang membeli dan membacanya hanya seorang dua.

Sebahagian yang lain menulis semata-mata kerana itulah minat dan kecenderungan mereka, dan saya buat masa sekarang berada di kategori ini. Setiap tulisan itu akan menjadi simpanan dan tatapan diri sendiri atau mungkin bakal menjadi khazanah untuk anak cucu dikemudian hari. Itupun jika mereka mahu menilainya sebagai bahan ilmiah yang perlu diperhatikan.

Saya mula menulis sejak dari bangku sekolah, waktu itu ayah ada ruang bacaan di rumah. Sebenarnya rumah ayah dahulu rumah kayu dua tingkat. bahagian bawahnya adalah rumah tempat kami sekeluarga dan bahagian atasnya dijadikan surau tempat beliau mengajar Al-Quran. Jadi di bahagian surau tersebut terletaknya ‘gerobok’ lama tempat menyimpan kitab-kitab agama, majalan dan buku-buku ilmiah yang pelbagai.

Jadi sejak dari sekolah rendah saya telah didedahkan dengan buku-buku dan kitab agama walaupun sebahagiannya pada waktu itu tidak mampu untuk memahami perbahasan-perbahasan ilmiahnya. Tetapi kerana minat membaca tersebut telah tertanam dalam jiwa, maka saya banyak menghabiskan masa di sudut bacaan yang ada. dari situ saya mula menyalin apa yang saya rasa menarik.

Mengapa tabiat ini masih melekat?

Kerana sebaris ayat yang pernah saya baca tidak lama dahulu. ayat inilah yang memberikan semangat supaya saya tidak mengalah untuk terus membuat catatan demi catatan.

قَيِّدُوا الْعِلْمَ بِالْكِتَابِ
“Ikatlah ilmu dengan dengan menulisnya” (Silsilah Ash-Sahihah no. 2026)

Sebab itu tak perlulah mengalah untuk menulis dan mencatat walaupun tidak ada sesiapa yang membacanya. Kerana yang lebih bernilai untuk diri kita adalah ilmu bukannya berapa ramai manusia yang membacanya.

Papan Batu, Alat Mengaktifkan Minda.

Menulis dan membuat catatan ini sebenarnya bagus, terutama bagi mereka yang menghafal, kerana otak akan lebih aktif dan mudah untuk ingat apabila kita menulis kembali sesuatu tulisan, Pernah dengar papan batu? Zaman ayah saya dahulu sukar untuk mendapatkan buku tulis (harga yang mahal), jadi apa yang cikgu ajar dihadapan akan disalin di papan batu kemudian dibaca dan dihafal. Maka secara tak langsung murid-murid akan belajar untuk menulis dengan baik dan menghafal pada masa yang sama.

Tak percaya? Nanti boleh cuba sendiri menulis.

Kata Syeikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin rahimahullah:


قلنا: نعم له دواء ـ بفضل الله ـ وهي الكتابة،
Kita katakan, Ya. Lupa ada ubatnya –dengan kurniaan dari Allah- iaitu menulisnya.

ولهذا امتن الله عز وجل على عباده بها فقال: (اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِى خَلَقَ * خَلَقَ الإِنسَـنَ مِنْ عَلَقٍ * اقْرَأْ وَرَبُّكَ الاَْكْرَمُ * الَّذِى عَلَّمَ لْقَلَمِ). العق: 1 ـ 4
Kerananya Allah memberikan kepada hamba-Nya dengan surat Al-Alaq (ayat 1-4)

فقال (اقرأ) ثم قال: {الَّذِى عَلَّمَ بِالْقَلَمِ } 
Iaitu“iqra’” kemudian “mengajarkan dengan pengantara pena”. 

يعني اقرأ من حفظك، فإن لم يكن فمن قلمك
Maksudnya, bacalah dengan menghafalnya, jika tidak hafal maka dengan tulisanmu.

فالله تبارك وتعالى بين لنا كيف نداوي هذه العلة، وهي علة النسيان وذلك بأن نداويها بالكتابة
Allah Tabaraka Ta’ala menjelaskan kepada kita bagaimana mengubati penyakit ini, penyakit lupa dan kita mengubatinya dengan menulis.

والان أصبحت الكتابة أدقُّ من الأول، لأنه وجد ـ بحمد الله ـ الان المسجِّل
Dan sekarang menulis lebih mudah berbanding dahulu sebab mudah dilakukan dan segala puji bagi Allah, sekarang boleh dirakam.

disalinan – Mutshalah Hadits syaikh Al-Utsaimin

Antara perkara yang yang sukar bagi ibu bapa adalah memperhatikan solat anak-anak. Tambahan bila anak-anak sudah semakin membesar. Waktu saya kecil-kecil dulu ayah selalu panggil saya ‘Lebai Tekoh’. Perkataan ‘tekoh’ kalau hendak diterjemah sukar untuk dapatkan perkataan yang tepat. Mungkin boleh digunakan perkataan ‘kalau’ atau ‘kadang-kadang’. “Tekoh rajin dia sembahyang, tekoh malas dia tinggai“.

Antara point yang dahulu saya gunakan untuk anak pertama dan anak kedua saya (kedua-duanya di asrama SMASR dan MRSM lagi susah nak pantau melainkan harap warden dan guru-guru tolong tengokkan) adalah dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Isra’ ayat 78 (rujuk Tafsir Ibn Katsir). Firman Allah:

أَقِمِ الصَّلاةَ لِدُلوكِ الشَّمسِ إِلىٰ غَسَقِ اللَّيلِ وَقُرآنَ الفَجرِ ۖ إِنَّ قُرآنَ الفَجرِ كانَ مَشهودًا – سورة الإسراء: ٧٨

“Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) solat subuh sesungguhnya solat subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).”

Saya selalu katakan, “Malaikat akan jadi saksi bila kita solat subuh. Sebab itulah masanya para malaikat yang bertugas waktu malam ‘tukar syif’ dengan malaikan yang bertugas pada waktu pagi.

Jadi waktu tu, mereka berkumpul dan bila kita solat subuh mereka akan jadi saksi solat kita. Selepas itu, malaikat yang sudah habis ‘syif’ tadi akan sampaikan laporan tersebut kepada Allah SWT apabila naik semula ke langit. Tak nak ke jadi special macam tu?”

Berkata Ibn Katsir, dalam mentafsirkan ayat di atas, Rasulullah ﷺ bersabda, (تشهده ملائكة الليل وملائكة النهار) Solat Subuh itu disaksikan oleh para malaikat yang telah bertugas di malam hari dan para malaikat yang akan bertugas di siang hari.

Imam Al-Bukhari juga meriwayatkan bahawa, Nabi ﷺ bersabda, (وتجتمع ملائكة الليل وملائكة النهار في صلاة الفجر), Dan malaikat yang bertugas di malam hari dan yang bertugas di siang hari berkumpul dalam solat Subuh.

Hadits-hadits seperti ini boleh memberikan semangat kepada anak-anak. kerana pada peringkat umur yang begitu mereka sentiasa mencari-cari perkara yang dikira ‘istimewa’ dan ingin selalu menjadi yang istimewa. Sebagai ibu bapa, kita jadikan amalan itu seistimewa mungkin (walaupun sebenarnya memang sudah terlalu istimewa berdasarkan hadits ini) sebagai daya pemangkin kesungguhan anak-anak, terutama anak-anak perempuan yang sudah akil baligh (sebab kadang-kadang mudah sahaja beri alasan ‘lampu merah’ kerana malas).

Dalam hadits lain, Nabi ﷺ bersabda:

 يتعاقبون فيكم ملائكة الليلِ وملائكة النهارِ، ويجتمعون في صلاة الصبحِ وفي صلاة العصرِ، فيعرج الذين باتوا فيكم فيسألهم -وهو أعلم بِكم -كيف تركتم عبادي؟ فيقولون: أتيناهم وهم يصلون، وتركناهم وهم يصلون

“Malaikat malam hari dan malaikat siang hari silih berganti ke­pada kalian, dan mereka bersua di dalam solat Subuh dan solat Asar, kemudian para malaikat yang bertugas pada kalian di malam hari naik (ke langit), lalu Tuhan mereka Yang lebih menge­tahui menanyai mereka tentang kalian, “Bagaimanakah keada­an hamba-hamba-Ku saat kalian tinggalkan?” Mereka menja­wab, “Kami datangi mereka sedang mengerjakan solat, dan kami tinggalkan mereka sedang mengerjakan solat.”

Kemudian Rasulullah ﷺ menyebut tentang hadits turunnya malaikat, Firman Allah:

من يستغفرني أغفر له، من يسألني أعطه، من يدعني فأستجِيب له حتى يطلع الفجر

“Barang siapa yang meminta ampun kepada-Ku, Aku memberi­kan ampun baginya; dan barang siapa yang meminta kepada-Ku, Aku akan memberinya; dan barang siapa yang berdoa kepada-Ku, Aku akan memperkenankan baginya hingga fajar terbit.”

Hanif Majid

Biasanya apabila tidak dibelenggu dengan kesibukan urusan kerja atau kuliah, saya akan cuba untuk mengadakan masa solat berjemaah dengan keluarga. Sekurang-kurangnya dapat juga perhatikan bagaimana mereka solat, betulkah…