Category

Doa & Zikir

Category

Setiap hari kita berdoa kepada Allah Azza wa Jalla menadah tangan meminta kepada-Nya. Bermacam-macam permintaan kita panjatkan kepada Allah dengan penuh pengharapan bahawa setiap doa kita itu diperkenankan oleh Allah.

Namun begitu, doa yang mana perlu kita pilih? Kerana doa ini ada kepelbagaiannya. Banyak sekali buku-buku yang dikarang mengandungi doa-doa yang menarik untuk dibaca dan diamalkan. Tidak kurang juga dengan doa-doa yang terdapat di dalam Al-Quran dan hadits-hadits, tetapi doa-doa jenis ini biasanya simple dan tidak panjang dan kelihatan terlalu umum. Jadi yang mana hendak dipilih?

Ini persoalan yang menarik, yang mana perlu kita dahulukan, doa wahyu dari Al-Quran dan Hadits atau doa yang dikarang oleh manusia?

Untuk menjawab persoalan ini, jom kita lihat apa kata Imam al-Qurtubi dalam masalah ini. Kata beliau:

Apa kata Imam Al-Qurtubi?

فَعَلَى الْإِنْسَانِ أَنْ يَسْتَعْمِلَ مَا فِي كِتَابِ اللهِ وَصَحِيْحِ السُّنَّةِ مِنَ الدُّعَاءِ وَيَدَعُ مَا سِوَاهُ 

Seharusnya seorang itu menggunakan doa-doa yang bersumberkan Al Quran dan perlbagai hadits yang sahih serta meninggalkan doa-doa yang tidak bersumber daripada kedua-duanya. 

وَلاَ يَقُوْلُ أَخْتَارُهُ كَذَا 

Janganlah ia berkata, “Aku telah memilih doa sendiri (untuk diriku)”, 

فَإِنَّ اللهَ تَعَالَى قَدِ اخْتَارَ لِنَبِيِّهِ وَأَوْلِيَائِهِ وَعَلَّمَهُمْ كَيْفَ يَدْعُوْنَ

Kerana Allah سبحانه وتعالى  telah memilihkan dan mengajarkan pelbagai (jenis) do’a kepada Nabi dan para waliNya (dalam Al Quran dan sunnah Nabi-Nya) ”. 

(Al Jami’ Li Ahkamil Qur’an 4/226)

Apa yang dapat kita sama-sama fahami di sini? Tentunya doa yang terbaik yang sepatutnya kita lazimi adalah doa-doa yang diajar kan kepada para Anbiya’ dari Al-Quran dan Hadits. Mengapa? kerana doa itu adalah ibadah dan sudah tentu ibadah itu mestilah sesuai dengan apa yang ditunjukan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Apa kata ulama?

Allah mahukan hamba-hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya dan Dia mengajarkan pula kepada hamba-Nya cara dan apa ucapan untuk diminta.

Al-Qadhi bin ‘Iyadh

katanya lagi,

Doa yang bersumberkan Al-Quran dan Hadits merangkumi 3 perkara iaitu,  Tauhid kepada Allah, Ilmu bahasa (ucapan dan penggunaan perkataan dalam berdoa) dan Nasihat kepada umat manusia.

Al Futuhaat Ar Rabbaniyah 1/17

Lihatlah bagaimana Allah Azza wa Jalla mendidik hamba-hambanya dengan kesantunan dan kasih sayang. Dari sebesar-besar perkara sehinggalah sekecil perkara (adab dalam meminta) ditekankan dengan tauhid kepada-Nya dan nasihat untuk manusia.

Semoga kita semua mengambil pengajaran dari hal ini. Insyaa Allah.

Hanif Majid